Dulu pasal dress code in parlimen. Skrg ni pasal name2 jalan kat putrajaya…
memang xde keje lain ke?
Istilah asing di Putrajaya ditukar ke b. Melayu pertengahan 2007
Oleh Habibah Omar http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
PUTRAJAYA 29 Nov. – Istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya akan ditukar ke bahasa Melayu sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ketika ini Perbadanan Putrajaya sedang memproses pertukaran istilah tersebut secara berperingkat-peringkat.
‘‘Kita telah minta Perbadanan Putrajaya mengikut jadual pertukaran istilah itu dengan teratur.
‘‘Mereka sedang memindanya dan ia akan mengambil masa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa tempat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya menggunakan terma-terma Barat seperti Presint, Boulevard dan Parcel.
Kerajaan telah meminta Perbadanan Putrajaya menukar nama-nama jalan itu kepada nama para pemimpin nasional yang telah meninggal dunia, bunga dan peristiwa perjuangan negara.
Sementara itu, bagi tempat-tempat lain di luar Putrajaya yang masih menggunakan istilah bahasa Inggeris pula, Rais berkata, Kabinet mengarahkan supaya kerajaan tempatan merujuk pertukaran istilah itu kepada nama warisan.
“Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan tidak menghadapi banyak tentangan namun bagi pihak swasta, kita meminta jasa baik mereka menukar nama tempat atau taman perumahan dengan nama yang lebih sesuai.
‘‘Dalam hal ini, kita telah berhubung dengan persatuan arkitek supaya tidak tergila-gila memanggil nama taman perumahan mengikut nama Barat.
‘‘Kita tidak mahu menggunakan kuasa undang-undang namun jika berterusan, kita akan merujuk kepada jawatankuasa Pusat bagi kerajaan tempatan,” katanya.
Bagi nama jalan yang menggunakan nombor sahaja seperti Jalan 2/21 pula, katanya, nama-nama berkenaan dicadangkan diberi nama khusus kerana penggunaan angka akan menyebabkan kekeliruan.